Wednesday, November 25, 2009



Krisis Di Selatan Thailand, Malaysia Perlu Campurtangan

Posted on Julai 4, 2007 by HermanSamsudeen
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (Pemuda PAS WP) bersetuju dengan pandangan YB. Abdul Fatah Harun (Pas-Rantau Panjang) dalam isu yang melibatkan kepentingan Umat Islam di Selatan Thailand.
Persetujuan Kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Kerajaan Thailand berhubung isu dua kerakyatan telah menimbulkan kegelisahan umat Islam dan orang Melayu Selatan Thailand. Perkara ini juga amat membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia.
Tindakan yang agak lemah dari Kerajaan Malaysia juga menyebabkan krisis di Selatan Thailand semakin meruncing seolah-olah tiada kesudahan. Inilah permasalahan pokok yang harus ditumpukan oleh Kerajaan Malaysia pada masa ini.
Tindakan PAS sebelum ini bukannya bermaksud menyusahkan Kerajaan Malaysia, tetapi pandangan PAS terhadap isu ini harus difikirkan oleh Kerajaan. Kita kesal kerana sikap tidak terbuka Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang telah menutup segala ruang percambahan idea dari pihak Pembangkang dan melihat seolah-olah pembangkang ingin mensabotaj beliau dan Kerajaan Malaysia.
Dalam situasi sekarang, Kerajaan Malaysia harus melihat dari sudut kemanusian dan kepentingan negara memandangkan krisis ini begitu hampir dengan sempadan negara kita.
Kita juga menolak sebarang unsur provokasi dan terorisma yang berlaku disana. Dalam kita melihat kesengsaraan umat Islam di Selatan Thailand yang menjadi mangsa pertelagahan Junta Tentera dan Puak Pembebasan Pattani, kita harus akur bahawa kita juga perlu memainkan peranan bagi meleraikan isu ini.
Campurtangan Kerajaan Malaysia adalah perlu bagi membantu mencari alternatif penyelesaian kerana segala tindakan ketenteraan di Selatan Thailand pada masa ini hanya meningkatkan lagi kehangatan sengketa yang berlaku. Bukan rakyat di Selatan Thailand sahaja yang berasa terancam, rakyat kita yang berada di sempadan juga turut merasainya, kerana bila-bila masa sahaja mereka akan menjadi sasaran. Walaupun kita telah menyediakan tentera bagi menjaga sempadan, namun kadang kala kita terlepas pandang terhadap apa yang berlaku hinggakan ada kalangan rakyat Thailand yanag menyeludup masuk bagi melarikan diri dari kekejaman tentera Thailand.
Kerajaan Malaysia mempunyai hak untuk bersuara dan memberikan pandangan terbaik agar wilayah tersebut dapat dipulihkan. Ketegangan yang berlaku hanyalah satu kerugian bagi semua pihak. Dalam suasana politik Thailand yang belum stabil, Malaysia sebagai rakan ASEAN harus menjadi penasihat agar tindakan ketenteraan Thailand pada masa sekarang tidak menjejaskan keamanan dirantau ini.
Pengunduran tentera Thailand dari Wilayah bergolak ini amat perlu bagi mengendurkan ketegangan yang berlaku. Kegasan yang berlaku semakin meningkat sejak gerakan ketenteraan ditingkatkan.
Kita juga tidak berhasrat untuk meminta Kerajaan Malaysia menyebelahi mana-mana pihak dalam isu ini, cukuplah jika kita mampu menjadi suara pembela kepada rakyat yang tertindas disana dan juga penasihat kepada Kerajaan Thailand dan Puak Pembebasan Pattani.
Kita juga tidak menafikan inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia sebelum ini termasuklah memberikan suaka politik kepada pelarian yang menyeberangi sempadan kita. Itu adalah satu perkara yang positif dan kita berharap agar Kerajaan Malaysia tidak berhenti setakat itu.
Walaubagaimana pun Kita tidak boleh selamanya memberikan suaka politik pada pelarian ini kerana mereka juga perlu kembali ke negara asal mereka. Jalan perdamaian harus dirintis oleh Malaysia bagi memastikan kedua-dua pihak yang bertelagah dapat duduk semeja dan tidak mengorbankan rakyat yang tidak berdosa.
Sentimen agama juga semakin menjadi-jadi kerana ada sahaja umat Islam atau orang Buddha yang menjadi mangsa antara kedua pihak. Salah faham dan kekacauan yang berlaku boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak dapat duduk berunding dan Malaysia harus kedepan bagi mengepalai jalan perundingan ini.
Kita juga harus sedar bahawa kuasa-kuasa besar seperti Amerika dan Brittain sedang mengintai peluang untuk masuk campur dalam isu ini. Dalam keadaan sedemikian. kita juga sedar bagaimana layanan buruk tentera ‘penjajah’ ini terhadap umat Islam. Oleh itu, sebelum perkara ini diambil alih oleh Amerika melalui PBB, Malaysia sebagai rakan ASEAN harus mengorak langkah yang lebih jauh untuk membantu mereka menyelesaikan konflik yang ada.
Akhir sekali, Pemuda PAS WP berharap agar Menteri Luar Negeri tidak cepat melenting dengan pandangan-pandangan di pihak Pembangkang kerana apa yang kita mahukan adalah kebaikkan untuk semua pihak, khususnya bagi menjaga kedaulatan negara kita di sempadan yang bergolak ini.
Jika Menteri Luar Negeri kita tidak cukup kekuatan untuk menyelesaikan masalah ini, kita di pihak PAS tiada masalah untuk menawarkan tenaga dan pakar-pakar kita untuk turut serta menyertai pasukan perundingan. Apa yang penting adalah tindakan segera dan bukannya sekadar menjawab soalan di Parlimen dan menutup mata terhadap pertumpahan darah yang berlaku saban hari disana.

Kamaruzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment